Dalam benaknya, Selipar jepun berkata, sungguh seronok menjadi Songkok. Dia selalu diletakkan di atas,sama ada dipakai atau tidak, tak pernah sekali dia berada dibawah. Berbeza dengan dirinya, dipakai terinjak-injak, tak dipakai pun tetap dibiarkan, di tanah atau di lantai dingin. Setiap kali hendak digunakan, tuannya selalu membersihkan Songkok, tidak satu pun debu dibiarkan hinggap, dan sebaik sahaja kembali, dia dibersihkan dan diletakkan kembali ke tempat yang lebih terhormat, jika tidak di dalam almari, di atas meja study, paling rendah digantung di dinding.
Berbeza dengan nasib Selipar jepun, dipakai tak pernah dibersihkan dan apabila habis digunakan semakin tidak dipedulikan walau sekotor mana pun, debu,lecah serta bau yang tidak menyenangkan.
Kalau pun diajak pergi, Selipar jepun tak pernah ke tempat yang bersih; ke reban, ke kebun, ke longkang, atau ke tandas. Nampak sangat, tuannya akan lebih memilih kasut kulit atau kasut kanvas untuk ke Mid Valley, ke KLCC, atau ke tempat-tempat yang sah memang bukan tempat Selipar jepun berada di sana. Namun begitu, Selipar jepun tetap dipakai oleh tuannya sekiranya hendak pergi ke masjid. Entah ini satu penghormatan atau sebaliknya buat Selipar jepun.Jika di masjid nanti dia harus berpindah kaki dengan orang lain, mungkin tuan pemilik hanya berfikir, ”Alaaa.. cuma Selipar jepun jer”. Sedangkan Songkok selalu dipakai ke majlis-majlis kenamaan, pejabat-pejabat dan dipakai di saat-saat pelantikan serta acara-acara rasmi.
Songkok hampir tidak pernah diberi kepada tuan yang lain, kerana biasanya masing-masing sudah memilikinya. Tapi Selipar jepun, sekalipun ada beberapa pasang, tak pernah dia diberikan kehormatan untuk mengabdi pada seorang tuannya sahaja. Ia biasa dipakai oleh isteri, anak, atau juga pembantu tuannya. Tidak jarang juga, dia dipinjamkan ke jiran sebelah rumah atau kawan tuannya.
Meskipun sudah usang dan berubah warna, Songkok biasanya tidak pernah dibuang. Disimpan di dalam laci dengan rapi, atau paling mungkin diberikan kepada anak-anak yatim atau siapa saja yang memerlukannya. Pastinya, masih bernilai. Selipar jepun? rosak sedikit diganti, apalagi kalau sudah putus talinya, tiada tempat yang paling sesuai kecuali tong sampah. Kadang-kadang, dia juga harus terasa pedih jika tubuhnya dipotong-potong untuk pengganti sabut kelapa, atau dibuat bahan permainan kanak-kanak.
Walaupun begitu, Selipar jepun tetap menyedari status dan peranannya sebagai Selipar jepun yang akan selalu terinjak-injak, kotor, dan tidak pernah berada di atas. Selipar jepun tidak pernah iri hati dengan peranan Songkok.Mungkin ketika tuannya berhadapan dengan Tuhannya, dan ditanya; “Mana di antara dua barang milikmu yang paling sering kau gunakan dan paling bermanfaat; Selipar jepun atau Songkok, yang satu-satunya akan kau bawa bersamamu ke syurga?” Dengan yakin tuannya akan memilih Selipar jepun yang jauh lebih memberikan manfaat baginya.
Saudaraku, tidak penting apa status, peranan dan fungsi Anda di dunia ini kerana Allah, Rasul dan manusia beriman tidak melihat Anda daripada pakaian yang disarungkan, jawatan yang dipegang dan kehormatan yang dikurniakan, tetapi sebanyak mana manfaatnya Anda kepada orang lain dengan status dan peranan Anda tersebut. Oleh sebab itu, bukan perkara penting untuk bertanya mengenai status dan jawatan apa yang akan kita sandang saat ini dan pada masa depan, tetapi yang terpenting ialah bertanya, seberapa mana kita mampu berbuat baik dan bermanfaat kepada orang ramai.
1 comment:
kacak2
Post a Comment