26 October 2012

AIDIL ADHA: Arti Sebuah Pengorbanan

Aidil Adha selalunya disinonimkan dengan  ketupat, sembahyang raya, dan sembelih lembu. Itulah kebiasaannya yang berlaku. Bangun pagi, pakai baju raya, pergi masjid, solat raya, balik, makan ketupat, pergi masjid balik, tengok orang sembelih lembu, kambing dll. Adakah itu yang dimaksudkan dengan Aidil Adha?

Adakah ini yang dimaksudkan Aidil Adha???
Mari kita singkap kembali peristiwa yang terjadi dan nilai utama dari peristiwa yang berlaku bersempena hari yang besar dalam kalendar Islam ini. Nilai pengorbanan dan ketabahan, itulah yang terdapat dalam peristiwa Nabi Ibrahim dan anaknya, Nabi Ismail.

 Nabi Ibrahim berjiwa yang kental amatlah tabah dan sanggup melakukan pengorbanan semi untuk mendapat keredhaan Allah, yakni, baginda sanggup untuk menyembelih satu-satunya anaknya yang dia ada pada ketika itu, iaitu Ismail atas perintah Allah S.W.T dan Ismail menerima arahan ini dengan hati yang terbuka. Lihatlah pengorbanan seorang hamba yang amat taat kepada perintah Allah, kerana dia yakin bahawa akan ada rahmat belas kasihan dari Allah, yang akhirnya digantikan dengan seekor kibash, untuk dibuat sembelihan. Sungguh, Allah Al-Muhaimin.

Al-Qur’an, Surah Ash-Shaffat, ayat 102:
Maka ketika Anaknya itu sampai (ke peringkat umur Yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: "Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya Aku melihat Dalam mimpi Bahawa Aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?". Anaknya menjawab: "Wahai ayah, jalankanlah apa Yang diperintahkan kepadamu; insya Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar".

Sesungguhnya peristiwa tersebut merupakan satu peristiwa besar, menifestasi sebuah pengorbanan agung dalam mentaati perintah Allah. Peristiwa yang berlaku pada tanggal 10 Zulhijjah ini jugalah yang ‘dirayakan’ oleh umat Islam seluruh dunia pada setiap tahun. Tetapi, berapa kerapkah kita menghayati peristiwa agung ini? Tidak keterlaluan jika kita katakan bahawa majoriti umat Islam tidak mengambil pengajaran daripada peristiwa ini, walaupun mereka menyaksikan upacara ‘menyembelih’ haiwan korban hampir setiap tahun.

Oleh itu, marilah kita sama-sama muhasabah diri kita ini kembali, sejauh mana nilai pengorbanan itu dihayati sepanjang kita merayakan Eid Al-Adha ini. Bagi waqi' kita juga, sebagai seorang mahasiswa Jordan pula, bermacam-macam pengorbanan perlu ditempuhi sepanjang menjadi pengembara mencari 'mutiara' di bumi Anbiya' ini. Pengorbanan masa, wang, tenaga, dan mental perlu dilakukan demi menuntut ilmu-ilmu di sini. Dan pengorbanan mencari mardhatillah merupakan pengorbanan yang hakiki.

Arti Sebuah Pengorbanan: Pengorbanan LiMardhatillah

No comments:

© BADAN KEBAJIKAN PELAJAR JORDAN

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Online Project management