24 November 2009

TAUTAN ADHA BKPJJ 09/10


Assalamualaikum warahmatullah...

Khas buat semua ahli [syabab dan akhawat] Badan Kebajikan Pelajar Johor Jordan (BKPJJ),

Jemputan ke majlis TAUTAN ADHA BKPJJ 09/10 dengan tema "UKHUWWAH SEIRING PENGORBANAN"

SAYA NAK JADI BAIK

Saya masih ingat lagi peristiwa yang sangat memberi kesan dalam hidup saya itu. Walaupun ia berlaku kepada adik teman rapat saya, tetapi saya boleh dikatakan terlibat juga.

”Macam mana bang? Kali ni gagal lagi ke?”

”Jangan macam tu, kita cuba lagi...”

”Masuk ni dah kali keempat, tapi masih belum menjadi...”

”Kali kelima ni pasti jadi. Insya-Allah,” saya menguatkan semangatnya.

Begitulah antara isi perbualan yang sehingga kini masih terpahat dalam ingatan saya. Waktu itu kami sama-sama dalam kereta menuju ke rumah seorang ’alim’ untuk berubat.

Setibanya kami di sana, ramai pesakit lain yang menunggu. Masing-masing dengan masalah atau penyakitnya sendiri. Adik teman rapat saya termangu-mangu di situ. Saya pun begitu juga. Kami hanya ke situ hasil cadangan seorang teman.

”Apa saya nak kata sebagai penyakit kalau ustaz tu tanya?”

”Eh, kau ada penyakit ke?”

”Tak ada... saya cuma...”

”Katakan sahaja, saya nak jadi baik!” syor saya.

Dia mengangguk, ”Saya nak jadi baik,” ulangnya perlahan.

Adik teman rapat saya itu memang malang. Sudah beberapa kali kecewa dalam hidup. Entahlah, sebut apa sahaja masalahnya... dari putus cinta, kena halau dari rumah, dibuang kerja, berjinak-jinak dengan arak. Beberapa kali hampir dipenjara, bertaubat tapi kemudian terjebak lagi. Tetapi anehnya, dia tak pernah serik nak jadi baik. ”Tolong saya bang, saya nak jadi baik.” Itulah katanya setiap kali saya bertemunya. Kata-kata itu juga yang tidak melemahkan semangat saya untuk membantunya untuk jadi baik (mudah-mudahan saya turut jadi baik).

Masih saya ingat benar bagaimana mata ’orang alim’ tersebut merenung wajah adik teman rapat saya sebaik mendengar katanya, ”Saya nak jadi baik.” Dengan penuh kasih sayang (persis seorang ayah) dia terus merangkul adik teman saya itu seraya berkata, ”Nak jadi baik, pasti Allah bagi baik.” Di tepuk dada, dihembuskan nafas ke telinga, diusap tangan (diiringi beberapa bacaan ayat al-Quran) lantas akhirnya didoakan.

”Mari sama-sama kita doakan... supaya dia berusaha jadi baik,” kata orang alim itu.

Kami sama-sama mengamin doa tersebut. Pendek, tapi menusuk. Tanpa disedari air mata kami mengalir. Biarlah kali ni benar-benar dia jadi baik.

Dalam perjalanan pulang, kami terus berbual.

”Bang, mudah ke nak jadi baik?”

”Jangan tanya macam tu... Baik tanyakan bagaimana nak jadi baik. Itu lebih tepat.”

”Kenapa?”

”Susah atau senang bukan soalnya. Sebab, dalam susah ada senang. Dalam senang, ada susah. Ada susah yang jadi mudah. Ada mudah yang jadi susah.”

”Ops, susah nak faham kata-kata abang ni.”

”Tulah, jangan cari susah. Cari mudah... tanyakan, bagaimana nak jadi baik, itu soalnya.”

”Oklah, macam mana nak jadi baik?” Dia akur.

Saya senyum. Sejak pulang dari rumah ’orang alim’ tadi saya lihat semangatnya nak jadi baik semakin meningkat.

”Mula-mula pastikan dulu, kita benar-benar nak jadi baik...,” jawab saya.

”Ni tak susah, semua orang nak jadi baik...,” pintasnya.

”Tidak, tak semua orang benar-benar nak jadi baik. Kebanyakannya hanya berangan nak jadi baik.”

”Macam mana nak bezakan kesungguhan dengan angan-angan.”

”Orang yang ingin jadi baik mempunyai gambaran yang cukup jelas tentang bentuk ’orang baik’ yang diidamkannya. Orang yang berangan-angan tak macam tu...”

”Lepas tu...”

”Bayar harga yang sepatutnya untuk jadi baik.”

”Maksud abang?”

”Macamlah kita nakkan sesuatu barang. Jika benar-benar inginkan barang tu, kita mesti sanggup bayar berapa pun harga untuk mendapatkannya.”

”Apa harga jadi baik?”

”Bagus soalan tu... Jangan pula tanya, mahal atau murah? Baiklah, jawapannya: Bersungguh-sungguh menggunakan peluang dan ruang untuk jadi baik.”

”Peluang nak jadi baik memang luas...”

”Tahu pun...”

”Ruangnya pun luas...”

”Jadi apa masalahnya?”

”Tak sungguh-sungguh...,” katanya.

”Macam mana nak sungguh-sungguh?” sambungnya lagi.

”Abang dah kata tadi, kesungguhan datang sekiranya kita benar-benar inginkan sesuatu. Maksudnya, kalau benar-benar nak kita nak jadi baik, pasti timbul usaha yang sungguh-sungguh nak jadi baik. Kalau tak ’benar-benar’, mana nak ’sungguh-sungguh’...”

Termenung lagi dia.

”Macam mana nak sungguh-sungguh dalam usaha nak jadi baik?”

”Cari dan dapatkan semua ’bahan’ nak jadi baik. Kemudian, lalui ’proses’-nya. Konsisten melakukannya. Akhir sekali... doa!”

”Bang, tolong mudahkan saya nak fahamkan semua ni.”

”Anggap nak jadi baik ni macam nak buat kuih. Pertama, kena tanya hati, benar-benarkah kita nakkan kuih tu? Jika ya, pastikan betul kuih apa yang kita nak buat? Kemudian, dapatkan bahan-bahannya. Lepas tu laksanakan kaedah membuatnya... adun, uli, canai, bakar dan sebagainya....”

Perbualan pulang dari rumah ’orang alim’ itu sangat berkesan dalam hidupnya. Kami berbual tentang cara nak jadi baik mengikut kaedah Islam. Saya cuba jelaskan segala-galanya. Dari persoalan rukun Iman sebagai ’bahan’nya, rukun Islam sebagai ’proses’nya dan ihsan sebagai ’hasil’nya. Jarang benar kupasan tentang bagaimana nak jadi baik difokus kepada ’proses’nya. Kebanyakannya hanya tertumpu pada ’end result’ atau hasil akhirnya sahaja.

”Rasa-rasanya Tuhan nak ke kita jadi baik?” tanya saya menguji.

”Tentulah. Tuhan Maha Menyayangi kita. Tuhan tentulah ingikan kebaikan buat kita.”

”Tuhan bukan sahaja ingin kita jadi baik malah Dia juga menyediakan segala keperluan untuk kita jadi baik.”

”Maksud abang?”

”Islam menyediakan ruang dan peluang yang cukup luas untuk kita jadi baik... Sayangnya, ruang dan peluang itu tidak dimanfaatkan semaksimumnya.”

”Dahlah bang, penat saya dengan falsafah ni... apa saya nak buat setelah pulang nanti. Saya tak mahu gagal lagi kali ni...”

”Dik, kalau benar-benar kita akan sungguh-sungguh. Jika kita sungguh-sungguh, kita akan peka terhadap peluang. Bukan itu sahaja, peluang itu pasti kita manfaatkan. Takkan kita lepaskan.”

Dia mengangguk-angguk. Matanya bersinar, mulutnya menguntum senyuman. Dia bukan sahaja faham makna kata saya bahkan menghayatinya, saya kira.

Bulan berganti bulan. Dan kini hampir satu tahun peristiwa ’saya nak jadi baik’ itu berlalu. Sekarang adik teman rapat saya itu telah pun tamat menjalani latihan polis – khabarnya sekarang dia telah jadi anggota polis. Wah, benar-benar dia dah jadi baik... Amin

BIRO PENERBITAN DAN MULTIMEDIA

© BADAN KEBAJIKAN PELAJAR JORDAN

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Online Project management